Tuesday 26 May 2009

RETAK DULANG PAKU SERPIH

PKR - MENGAKU TAWAR GANJARAN - Dua ahli minta calon Bebas Penanti tarik diri ganjaran BUKIT MERTAJAM: Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam mengaku dua ahlinya menemui dan menawarkan ganjaran kepada calon Bebas, Aminah Abdullah, supaya menarik diri daripada bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti. Pengarah Pilihan Raya PKR DUN Penanti, Saifuddin Nasution, bagaimanapun berkata tawaran itu dibuat berdasarkan hubungan rapat mereka dengan Aminah dan bukan mewakili parti. "Saya menemui kedua-duanya dan mereka memaklumkan Aminah menjemput mereka makan tengah hari di rumahnya. Mereka menerima jemputan itu kerana menghormati Aminah sebagai sahabat lama mereka," katanya pada sidang media di Yayasan Aman di sini.
Kelmarin, Aminah menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cakera padat (CD) mengandungi rakaman perbualan berhubung tawaran ganjaran wang tunai RM80,000 dan jawatan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) jika beliau menarik diri bertanding pada pilihan raya kecil itu. Bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang itu juga mendakwa beliau ditawarkan jawatan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, jika menang pilihan raya kecil itu dengan syarat menyertai semula parti berkenaan. Tawaran itu didakwa dibuat oleh dua ahli PKR yang mengunjungi rumah Aminah di Jelutong, 13 Mei lalu.
AMINAH menyerahkan CD yang mengandungi gambar dan rakaman audio beberapa ahli PKR yang menawarkannya ganjaran kepada kakitangan SPR di Pejabat SPR di Komtar, Georgetown, semalam.
Aminah adalah antara tiga calon Bebas yang menentang calon PKR, Mansor Othman pada pilihan raya kecil Penanti Ahad ini yang diadakan berikutan peletakan jawatan Mohammad Fairus Khairudddin. Saifuddin juga berkata, peguam PKR, Ong Chin Wen sudah menghantar notis tuntutan permohonan maaf dan menarik balik kenyataan yang dibuat Aminah terhadap parti itu. "Kita sudah menghantar notis ke alamat calon terbabit. Notis itu bertujuan supaya Aminah menghentikan fitnah yang dilemparkan bagi tujuan memperoleh keuntungan peribadi. Kita memberi masa tujuh hari kepadanya (untuk menjawab notis itu)," katanya. Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Latifah Md Yatim, yang dihubungi mengesahkan pihaknya sudah membuka kertas siasatan berhubung kes itu selepas Aminah membuat laporan kelmarin.
"Apabila ada laporan sudah tentu kami perlu membuat tindakan susulan iaitu menyiasat. Beberapa individu akan dipanggil bagi memberi keterangan," katanya ketika dihubungi, semalam. Aminah menemui dua pegawai SPRM di pejabat suruhanjaya itu di Butterworth, bermula jam 4 petang hingga 10 malam kelmarin, beberapa jam selepas beliau membuat pendedahan kepada media mengenai tawaran PKR itu. Pada pertemuan itu, Aminah menyerahkan dekoder MP4 yang mengandungi rakaman perbualan berkaitan tawaran PKR kepadanya. Dekoder itu mengandungi perbualan dalam tiga pertemuannya dengan dua ahli PKR. Semalam, Aminah turut menyerahkan sekeping cakera padat (CD) dan tiga cetakan gambar pertemuannya dengan ahli PKR itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pulau Pinang di sini. Aminah yang ditemui pemberita, mengakui kedua-dua ahli PKR itu memang kawan baiknya, tetapi beliau terpaksa membuat pendedahan itu selepas dicabar Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Mohamed Zahrain Hashim. "Mereka mungkin faham mengapa saya buat rakaman. Hanya langkah berjaga-jaga. Malah, mungkin mereka juga membuat rakaman kerana ia memang tabiat orang PKR," katanya.